KARANGAN LARAS SAINS

Karangan laras sains melibatkan 3 bidang iaitu sains tulen, sains gunaan dan perubatan & Kesihatan. Sains Tulen iaitu fizik, kimia, biologi dan matematik. Sains Gunaan pula ialah kejuruteraan, perkomputeran, perakaunan dan alam sekitar manakala Perubatan & Kesihatan pula ialah pencegahan, perawatan dan pengesanan.

Tuesday, July 27, 2010

LATIHAN 9

Pembangunan dalam industri sawit melalui kajian dan penyelidikan telah menghasilkan inovasi moden dan produk baru yang kompetitif dalam kehidupan masa kini. Jelaskan kepentingan kelapa sawit kepada manusia dan persekitaran.

LATIHAN 1

Alam sekitar yang bersih adalah penting kepada kehidupan manusia dan ancaman terhadapnya boleh menimbulkan kesan negatif. Ulaskan

Tuesday, July 6, 2010

PROGRESS SELAMAT BERLABUH DI ISS




ARKIB : 06/07/2010 (Utusan Malaysia Online)


BERLATAR belakang horizon Bumi, kapal angkasa Progress menghampiri Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa dalam gambar yang dikeluarkan oleh NASA pada 3 Julai lalu. - REUTERS

--------------------------------------------------------------------------------


MOSCOW 5 Julai - Sebuah kapal angkasa kargo Rusia tanpa angkasawan berlabuh di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) semalam, dua hari selepas satu masalah teknikal menyebabkan pergerakan serupa terpaksa dibatalkan.

Pegawai angkasa lepas berkata, mereka berjaya mengelakkan masalah isyarat radio yang memaksa mereka membatalkan operasi untuk melabuhkan kapal kargo Progress M-06M itu.

Progress dilancarkan pada 30 Jun lalu dengan membawa 2.6 tan bekalan bahan bakar, makanan dan air untuk tiga angkasawan Rusia dan tiga angkasawan Amerika Syarikat (AS) di ISS.

"Pada pukul 20.17 malam waktu Moscow (pukul 12.17 tengah malam tadi waktu Malaysia), Progress M-06M berlabuh di modul 'Star' di ISS," menurut satu kenyataan Pusat Kawalan Misi Rusia di Internet.

Percubaan untuk berlabuh pada Jumaat lalu dibatalkan apabila hubungan radio dengan ISS terputus selama 25 minit.

Progress berlabuh secara automatik semalam di bawah pengawasan pasukan pakar di Moscow dan angkasawan di ISS, tanpa menggunakan hubungan radio.

Kapal angkasa itu dilancarkan dari Kosmodrom Baikonur, Kazakhstan pada 30 Jun lalu dan merupakan pesawat kargo Rusia ke-40 yang berlabuh di stesen tersebut, menurut kenyataan itu.

Berbanding dengan masalah yang membelenggu percubaan berlabuh yang pertama, percubaan kedua semalam dilaksanakan dengan sempurna, lapor agensi angkasa lepas AS, NASA di laman webnya.

Kegagalan Progress untuk berlabuh pada Jumaat lalu selepas terbang melepasi ISS menarik perhatian kerana ia menandakan kesilapan yang jarang-jarang berlaku dalam program angkasa lepas yang selalunya berjaya melaksanakan sesuatu operasi dengan tepat. - AFP

TEKNOLOGI SATELIT BANTU DIDIK PEMANDU INGKAR

Teknologi satelit bantu didik pemandu ingkar
Oleh Mohd Mahzan Awang 2010/05/27 (Berita Harian Online)

TIADA siapa yang mahukan kemalangan. Ia terjadi tanpa diduga. Biarpun banyak kajian, saranan dan usaha dilakukan untuk mencegah kemalangan, tragedi malang ini dilihat sukar dibendung. Ia tetap berlaku.

Sebagai pengguna jalan raya, kita dapat melihat sendiri bagaimana sesebuah kenderaan dipandu secara berbahaya di jalan raya. Ia termasuklah memandu melebihi had laju, terburu-buru memotong kenderaan di depan, melanggar lampu isyarat, memotong di sebelah kiri jalan, mengekori rapat kenderaan serta pelbagai gaya pemanduan yang memang menakutkan pengguna jalan raya. Contoh ini adalah antara penyebab kepada berlakunya kemalangan maut. Pendekatan menyaman dan mendenda pemandu yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya adalah amat baik. Malah, ia adalah amalan lazim di mana-mana negara.
Kajian ilmiah mengenai strategi mendisiplinkan seseorang, menyokong keperluan hukuman sebagai satu kaedah mengajar bahawa setiap perlakuan mempunyai akibatnya. Maka, menghukum pemandu yang tidak berdisiplin dilihat amat wajar.

Justeru, pendekatan seumpama ini sudah lama diamalkan, tetapi kemalangan maut tetap terjadi. Usaha tambahan perlu disegerakan. Amat penting sekali ditekankan sekarang ialah memberi fokus kepada usaha mencegah kemalangan menerusi pemantauan dan kepantasan bertindak.

Malah, faktor ‘kepantasan’ sudah menjadi teras kepada polis di seluruh dunia dalam usaha membantu pencegahan apa juga bentuk perlakuan jenayah.
Hari ini, teknologi satelit sudah menjadikan segenap ruang di muka bumi dapat dilihat menerusi skrin komputer. Banyak kenderaan mewah menggunakan aplikasi teknologi ini bagi mengelak berlakunya kecurian kenderaan mereka.

Tambahan pula banyak kamera litar tertutup (CCTV) dipasang untuk memantau keselamatan orang awam. Teknologi sebegini mampu memberi maklumat kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan pantas bagi menghalang risiko kemalangan.

Penyaluran maklumat menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) lebih bersifat pengumpulan maklumat untuk siasatan lanjut, bukannya untuk tindakan drastik.

Walaupun ia memang bermanfaat, yang paling penting untuk mencegah kemalangan ialah campur tangan pihak berkuasa pada saat pemanduan berbahaya di lokasi.

Apabila berada di lokasi, pihak berkuasa juga wajar sekali membuat transformasi pendekatan daripada menghukum pemandu kepada membantu pemandu mempertingkatkan kemampuan pemanduan.

Pemanduan berbahaya itu mungkin terjadi ekoran daripada kurangnya kemahiran pemanduan, pemandu berada dalam keadaan tertekan, mungkin juga di bawah pengaruh dadah atau alkohol dan juga ketidakupayaan pemandu mengendalikan kenderaan di kawasan terbabit.

Tidak mustahil juga pemandu itu terbabit dalam kes jenayah yang berbahaya. Kepantasan pihak berkuasa tiba di lokasi berkenaan, secara automatik risiko kemalangan dapat dikurangkan.

Aplikasi teknologi satelit dan CCTV hakikatnya sudah diamalkan di negara maju termasuk di United Kingdom. Ia menjadi antara kaedah berkesan untuk membantu mengurangkan kemalangan. Kerap kali juga helikopter digunakan untuk membantu pihak berkuasa memberhentikan kenderaan yang dipandu berbahaya bagi tujuan pemeriksaan lanjut.

Di samping budaya masyarakat di United Kingdom yang mengutamakan keselamatan dan kesihatan, kepantasan pihak berkuasa mengesan pemandu berbahaya turut membantu mengurangkan kes kemalangan jalan raya.

Memang tidak dinafikan bahawa usaha sebegini memerlukan kos tinggi terutama untuk menambah anggota serta keperluan kenderaan peronda bersama teknologi canggih. Namun ia mungkin dapat disegerakan menerusi kerjasama dan usaha sama antara kerajaan dengan syarikat yang terbabit secara langsung dengan kemalangan jalan raya diadakan.

Babitkan syarikat pengurusan risiko seperti syarikat insurans serta pengendali lebuh raya untuk mengurangkan kemalangan. Mungkin juga kerajaan boleh mempertimbangkan syarikat kawalan keselamatan untuk terbabit dalam usaha ini.

Mengurangkan risiko kemalangan bermakna menambah keteguhan syarikat insurans serta mengurangkan kos penyelenggaraan lebuh raya. Yang paling penting ialah kita berasa selamat dan terjamin berada di jalan raya. Bagaimanapun, jika berlaku juga kemalangan, itu adalah takdir Ilahi yang di luar kawalan manusia.

Penulis ialah pensyarah fakulti pendidikan UKM, kini melanjutkan pengajian

TEKNOLOGI SATELIT DI MALAYSIA


SEMENJAK satelit pertama dilancarkan pada 13 Januari 1996, Malaysia sudah mempunyai lima satelit dengan empat daripadanya milik syarikat Measat Satellite System Sdn. Bhd. (Measat), yang direka bentuk untuk tujuan komunikasi.

Sementara satu lagi ialah Tiungsat milik Astronautics Technology Sdn. Bhd.(ATSB) yang dilancarkan pada 26 September 2000 yang mempunyai misi untuk mencerap bumi.

Kejayaan Malaysia dalam tempoh pendek itu ternyata pencapaian yang cukup hebat dan mengkagumkan ramai hingga telah meletakkan nama negara sebagai peneraju utama di rantau ini.

Lantas dengan siri kejayaan ini, ia telah menjadikan Malaysia antara tiga negara yang terkehadapan di Asia Pasifik dalam industri satelit komunikasi.

Sumbangan utama rekod cemerlang ini pastinya daripada Measat selaku operator atau pengendali satelit komunikasi.

Ternyata penubuhan syarikat itu memenuhi kehendak Wawasan 2020 bagi memacu keupayaan ICT negara yang merupakan medium penting untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju.

Malah Measat sendiri menjadi pemangkin kepada kebolehan rakyat Malaysia dalam teknologi satelit selain secara berterusan menyemarakkan minat generasi muda dalam industri penting ini.

Lebih membanggakan pastinya kerana sebahagian besar pengendalian satelit milik Measat ini ditunjangi jurutera tempatan.

Sememangnya menjadi komitmen syarikat berkenaan untuk melahirkan seramai mungkin jurutera tempatan berwibawa bagi menyahut cabaran Wawasan 2020.

Antara yang dilahirkan mereka ialah Mohd. Muzaini Mohammud, 35, anak kelahiran Perlis yang bertindak sebagai Penolong Jurutera Prinsipal bagi Kejuruteraan Satelit di Measat.

Pendedahan luas yang diberikan kepada Muzaini membolehkan beliau terlibat secara langsung dalam pembinaan satelit MEASAT-3 apabila menjadi Jurutera Residen Boeing Satellite System yang membina satelit berkenaan.

Sementara untuk pelancaran terbaru MEASAT-3a pada 22 Jun lalu, Muzaini dengan pengalaman yang ada padanya telah bertindak sebagai penasihat pelancaran.

Satelit keempat Measat itu yang dilancarkan di Baikonur Cosmodrome, Kazakhstan melibatkan kos sebanyak AS$165 juta (RM577.5 juta).

Direka dengan 24 transponder, satelit tersebut akan melengkapkan keupayaan MEASAT-3 yang dilancarkan pada Disember 2006 lalu yang menjadi satelit tercanggih milik negara.

MEASAT-3 dibangunkan dengan 48 transponder iaitu 24 liputan Ku-Band dan 24 C-band manakala MEASAT-3a adalah separuh daripada keupayaan tersebut.

Pelancaran satelit yang dibina oleh Orbital Sciences di Amerika Syarikat (AS) menandakan satu lagi kejayaan besar buat Measat selaku pengendali satelit utama di rantau ini.

Manakan tidak, lebih 85 peratus kapasiti MEASAT-3 telah habis dilanggan walaupun tidak sampai tiga tahun ia dilancarkan manakala MEASAT-3a yang bakal beroperasi penghujung bulan depan telah pun mempunyai pelanggan.

Dengan pengukuhan satelit Measat di longitud (garis bujur) 91.5 darjah timur ini dijangka bakal meningkatkan perolehan syarikat kepada RM350 juta setahun berbanding sekarang yang hanya sekitar 60 peratus daripada jumlah itu.

Selain lima satelit Malaysia yang sudah pun berada di ruang angkasa, terdapat ribuan lagi satelit yang beroperasi dan kesemuanya mempunyai pelbagai fungsi daripada komunikasi, cuaca, cerapan, pertahanan dan lain-lain.

Sejarah pelancaran satelit bermula pada 4 Oktober 1957 apabila Soviet Union melancarkan satelit buatan pertama dunia ke angkasa yang dikenali sebagai Sputnik 1.

Ia bersaiz sebesar bola dengan berat 83 kilogram (183 paun). Pelancaran itu dilakukan di Baikonur Cosmodrome dan Sputnik kini diabadikan pada nama sebuah hotel di Baikonur.

Hotel tersebut menjadi persinggahan delegasi yang menghadiri satu-satu pelancaran satelit di Baikonur Cosmodrome.

Tidak ketinggalan delegasi Malaysia yang menyaksikan pelancaran MEASAT-3a 22 Jun lalu dengan penuh rasa bangga. - HERMAN HAMID