KARANGAN LARAS SAINS

Karangan laras sains melibatkan 3 bidang iaitu sains tulen, sains gunaan dan perubatan & Kesihatan. Sains Tulen iaitu fizik, kimia, biologi dan matematik. Sains Gunaan pula ialah kejuruteraan, perkomputeran, perakaunan dan alam sekitar manakala Perubatan & Kesihatan pula ialah pencegahan, perawatan dan pengesanan.

Monday, October 11, 2010

PUNCA PENYAKIT MENTAL

CONTOH SOALAN : Penyakit mental berlaku disebabkan oleh tekanan hidup yang dialami oleh pesakit. Bincangkan punca penyakit mental dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk memulihkan pesakit mental.

Kemahiran tangani tekanan cara berkesan atasi bunuh diri
JIKA disorot kembali sejak awal tahun ini, masyarakat dikejutkan pelbagai kes bunuh diri dan cubaan membunuh diri. Apabila ada golongan profesional seperti doktor dan peguam yang mengambil keputusan untuk bunuh diri, ramai yang tidak dapat memahami kenapa jalan itu dipilih. Belum lagi dikira dengan kes terminum racun dan terjatuh bangunan.

Pada 19 November, akhbar melaporkan cubaan membunuh diri seorang wanita berusia 38 tahun dari Kuala Terengganu yang cuba membakar diri dan bayinya berusia lapan bulan. Semuanya dikaitkan dengan tekanan dan konflik hidup sebagai puncanya.

Jika orang dewasa yang matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi remaja dan kanak-kanak. Pada tarikh sama, seorang pelajar Tahun Enam ditemui mati tergantung dengan sehelai selimut dalam bilik di rumahnya di Pulau Pinang. Murid itu dikatakan kecewa dengan keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Perunding Kanan Psikiatri dan Psikoterapi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Azhar Md Zain, berkata kes seperti ini berpunca daripada tekanan keterlaluan.

“Tahap pendidikan seseorang tidak semestinya menjadi kayu ukur buat mereka menangani masalah atau tekanan. Malah, ia juga bukan perisai menentukan keupayaan mereka berhadapan dengan tekanan.

“Sama ada berpendidikan, berkerjaya profesional atau tidak, tekanan yang tidak terkawal boleh membuatkan seseorang itu hilang kawalan pada akhirnya,” katanya.

Bukan semua individu dapat menangani tekanan hidup dengan baik. Cara dan tahap seseorang menerima sesuatu tekanan adalah berbeza. Mungkin bagi individu A, masalah dihadapi individu B dianggap remeh, tetapi tidak bagi individu B. Begitulah juga sebaliknya.

Kemampuan menangani tekanan bergantung kepada beberapa perkara iaitu personaliti seseorang, individu contoh seperti ibu bapa atau idolanya, ahli keluarga dan juga rakan sebaya.

Azhar tidak menafikan gaya hidup masa kini mungkin menjadi punca tekanan, turut memberi contoh negara maju seperti Eropah dan Jepun mencatatkan kadar bunuh diri yang tinggi.

Tekanan boleh muncul dalam pelbagai keadaan. Misalnya tekanan daripada ahli keluarga, di tempat kerja dan rakan serta persekitaran mendesak sehingga ada yang tidak sanggup berhadapan masalah. Ia bermula dengan perubahan tingkah laku yang biasanya membawa kepada kemurungan.

“Ada banyak sebab bagi kemurungan, namun yang penting adalah cara menanganinya. Orang terdekat adalah individu bertanggungjawab untuk mengenalpasti faktor itu.

“Satu caranya ialah melapangkan masa untuk menjadi pendengar yang baik. Individu yang pernah cuba membunuh diri biasanya memendam rasa. Besar kemungkinan dia akan kembali mencuba. Walaupun dirawat, mereka masih lagi memerlukan perhatian,” katanya.

Selain itu, sekiranya mereka memiliki sistem sokongan yang kuat, terutamanya daripada ahli keluarga yang prihatin, masalah ini boleh diatasi. Mungkin ada yang malu mengakui mereka perlu mendapatkan rawatan kaunselor kerana bimbang dikategorikan sebagai pesakit mental, dipinggirkan keluarga dan masyarakat.

Justeru, tahap stres akan meningkat dan daripada masalah kemurungan kecil ia bertambah besar hingga mereka mengambil tindakan yang boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain.

Sebenarnya, bantuan awal boleh diberi kepada mana-mana individu yang dilihat memiliki ciri kemurungan. Antaranya ialah:

•Adakah individu itu dapat melakukan tugas hariannya tanpa berasa tertekan;
•Adakah individu itu mengalami masalah berat badan sama ada turun atau naik yang serius, atau perubahan tabiat tidur;
•Adakah individu itu kehilangan kawan atau mendapat kawan baru yang memberi pengaruh kurang sihat;
•Mengadu mengalami penyakit tidak berasas;
•Tahap keyakinan diri turun mendadak;
•Individu itu sering berasa letih;
•Individu itu berasa tidak berguna kepada rakan, keluarga dan hidupnya;
•Individu itu pernah berfikir hendak membunuh diri atau pernah cuba membunuh diri,
•Individu itu tiba-tiba mula merokok, minum minuman keras atau mengambil dadah.Azhar turut menekankan pengisian rohani juga bekalan perlu untuk menguatkan jiwa seseorang individu mengikut kepercayaan agama dianuti. Program Pencegahan Bunuh Diri Kebangsaan diperkenalkan pada 2003 juga banyak membantu memberi kesedaran dan pengetahuan kepada masyarakat.
Pencegahan adalah ubat paling mujarab bagi mengatasi kes bunuh diri serta cubaan bunuh diri. Namun, jika gagal, kes ini mungkin membawa kecacatan kekal yang akhirnya membuatkan mereka serta orang terdekat turut sama menderita. – Bernama

No comments:

Post a Comment