KARANGAN LARAS SAINS

Karangan laras sains melibatkan 3 bidang iaitu sains tulen, sains gunaan dan perubatan & Kesihatan. Sains Tulen iaitu fizik, kimia, biologi dan matematik. Sains Gunaan pula ialah kejuruteraan, perkomputeran, perakaunan dan alam sekitar manakala Perubatan & Kesihatan pula ialah pencegahan, perawatan dan pengesanan.

Tuesday, October 18, 2011

KEPENTINGAN BIOTEKNOLOGI

Bioteknologi kini menjadi topik dan agenda masyarakat dunia. Ia sering dikaitkan dengan pertanian, perindustrian, pemakanan, perubatan, dan seumpamanya. Bioteknologi ini jika diusahakan dengan sebaiknya akan menghasilkan penemuan-penemuan sains mengenai biologi dan teknologi, di samping pembelbagaian produk yang membawa manfaat kepada manusia.

Bioteknologi bukan sahaja akan menyumbang kepada peningkatan hasil pemakanan, pertanian dan perubatan malah turut membantu mengembangkan ekonomi sesebuah negara khususnya dalam sektor perindustrian.

Pada masa yang sama teknik atau proses yang melibatkan penggunaan sains yang berkaitan dengan benda-benda hidup seperti mikro organisma, haiwan atau tumbuhan akan dapat dikembangkan sama ada untuk menyelesaikan sesuatu masalah atau penghasilan produk-produk berasaskan sumber tersebut.

Di sini akan dibincangkan mengenai ´bioteknologi´ di samping penghasilan pelbagai produk yang dahulunya dibuat secara tradisional dan kini menggunakan teknologi moden. Juga dibincangkan ialah manfaat yang boleh didapati oleh negara khususnya dan masyarakat sejagat umumnya.

BIOTEKNOLOGI

Bioteknologi terbit daripada dua unsur iaitu ´biologi´ dan ´teknologi´. Kamus Dewan mentakrifkan ´biologi´ sebagai ilmu hayat atau benda-benda hidup. Sementara ´teknologi´ itu pula bermakna ilmu pengetahuan mengenai segala ilmu yang berkaitan dengan perindustrian dan sains gunaan yang mempunyai nilai ekonomi.
Dalam erti kata yang lain bioteknologi merupakan kajian sains mengenai benda hidup dengan menggunakan teknik atau proses teknologi untuk meningkatkan penghasilan sumber hidupan dan penghasilan pelbagai produk lain.

Sama ada disedari ataupun tidak, orang-orang kita termasuk masyarakat zaman dahulu telah pun menggunakan bioteknologi meskipun kaedahnya hanya di tahap yang rendah dan biasa sahaja. Perkembangan pesat dalam bidang sains dan teknologi telah dapat mengembang luas dan menggantikan cara lama kepada kaedah yang lebih canggih.

Secara mudah, apabila manusia memelihara binatang ternakan, berladang dan bercucuk tanam maka dengan kaedah-kaedah penjagaan dan pemeliharaan yang diguna pakai itu manusia telah mengamalkan bioteknologi. Begitu juga bilamana manusia menghasilkan produk-produk perubatan barangan makanan melalui teknologi tradisional kampung maka bioteknologi telah dilaksanakan.

PERTANIAN

Di dalam bidang pertanian misalnya, usaha perladangan seperti penanaman padi, jagung, sayur-sayuran dan buah-buahnya merupakan usaha yang sudah lama diamalkan. Begitu juga dengan ternakan kerbau, lembu, kambing, ayam dan itik juga menjadi sebahagian usaha orang-orang dahulu.

Seiring dengan kepakaran sains melalui teknologi moden, usaha di bidang pertanian dapat dikembangmajukan. Sebagai misalan kerja-kerja perladangan yang hanya menggunakan parang dan cangkul kini boleh dibuat dengan menggunakan jentera dan seumpamanya. Ia dapat menambah keluasan kawasan berlipat kali ganda selain menjimatkan masa dan tenaga.

Pada masa yang sama terciptanya pelbagai jenis baja dan seumpamanya telah dapat menyuburkan lagi tanaman yang boleh menambahkan kuantiti dan kualiti hasil pertanian. Di waktu yang sama penggunaan bioteknologi membolehkan para petani bercucuk tanam walaupun di tanah yang kering dan gersang atau kurang subur.

Produk-produk racun-racun serangga setentunya juga telah dapat membantu para peladang mengawal tanaman dari makhluk perosak. Begitu juga dengan ´racun rumpai´ kini telah dapat membantu para petani menjimatkan masa, tenaga dan kos dalam kerja-kerja pembersihan ladang mereka.

Dari segi ternakan pula, penghasilan beraneka jenis produk makanan binatang yang dicipta begitu rupa juga boleh membantu menyihat dan mempercepatkan pembesaran haiwan ternakan. Terdapatnya pelbagai vaksin dan ubat-ubatan haiwan juga boleh meningkatkan kawalan dari serangan wabak dan penyakit haiwan.

Selain penjagaan kesihatan dan mempercepatkan pembesaran binatang ternakan, pemakanan dan ubat-ubatan haiwan yang mengandungi vitamin-vitamin tertentu juga akan meningkatkan penghasilkan pengeluaran daging, susu dan telur yang yang lebih bermutu.

GENETIK

Bioteknologi tidak lengkap jika tidak dikaitkan dengan ´genetik´ atau ´kebakaan´ yang terdapat dalam organisma. Melalui kajian sains dan teknologi para pakar telah banyak menemukan penghasilan baka sama ada bagi tumbuh-tumbuhan dan haiwan.

Penghasilan baka bermutu melalui percantuman atau klon seperti durian, limau, mangga, rambutan, nangka, cempadak, tomato dan berbagai jenis sayur-sayuran dan buah-buahan yang lain telah menjanjikan penghasilan berganda dan pendapatan lumayan kepada para petani.

Pelbagai jenis baka padi dan gandum yang bermutu tinggi telah berjaya meningkatkan penghasilan kepada pengeluaran bahan makanan asasi masyarakat dunia, di samping mutunya yang baik ia juga dapat ditanam dalam dua atau tiga musim setahun.

Keadaan yang sama juga berlaku kepada hasil ternakan haiwan di darat dan ternakan ikan di air. Penghasilan baka yang baik dan kaedah pembiakan yang mudah telah dapat menyumbang penghasilan lumayan kepada para nelayan yang mengusahakan ternakan akuakultur di laut dan pengusaha kolam ikan air tawar di darat.

MAKANAN

Penghasilan produk makanan memang telah lama diusahakan oleh masyarakat terdahulu. Ia termasuk pembuatan tepung, serbuk kopi, garam termasuk pelbagai produk makanan tradisi dari hasil pertanian dan seumpamanya.

Sebagai contoh melalui teknologi tradisional masyarakat kitani telah menghasilkan sago atau ambulung dari pohon rumbia. Ambulung ini pula dijadikan ambuyat yang menjadi makanan tradisional yang begitu digemari oleh masyarakat Brunei. Hasil dari pokok rumbia ini juga dijadikan ambulung kimanis, sasagun, kubal, tompi dan makanan tradisional yang lain.

Juga dihasilkan ialah keropok udang atau ikan, kerepek pisang, tempoyak, belacan dan banyak lagi. Begitu juga dengan produk pembuatan tapai, budu kupang, belutak, ikan masin, liking ikan dan sebagainya.

PERUBATAN

Sejak dahulu lagi tumbuh-tumbuhan dan haiwan telah diproses sebagai ubat-ubatan tardisional. Masyarakat dahulu memang berkepakaran dan begitu memahami akan kegunaan tumbuhan hutan dan haiwan untuk dijadikan herba tradisional.

Sebahagiannya dihasilkan sebagai ubat-ubatan untuk dimakan selain bebentuk cecair atau minyak yang boleh disapukan di bahagian luar tubuh badan. Jenis ubat-ubatan yang dihasilkan dari tumbuh-tumbuhan ini termasuklah dari akar pelibas, akar ratnawali, tongkat ali, pokok bintangur, mengkudu, kacip Fatimah dan lain-lain.

Sementara dari haiwan pula termasuklah ikan haruan atau ´dalak´, lintah, gamat, belut, tanduk badak dan banyak lagi. Itu hanya sebahagian kecil dari ratusan pokok hutan dan beraneka jenis haiwan yang boleh dimanfaatkan sebagai produk perubatan.

TEKNOLOGI

Dengan penggunaan teknologi canggih, para pengusaha telah beralih dari pemprosesan secara tradisi kepada pemprosesan secara moden yang lebih cepat, mudah, efisien dan produktif melalui penggunaan pelbagai jenis jentera yang berkuasa tinggi dan mesin-mesin skala kecil.
Produk-produk tradisi yang dahulunya dibungkus atau disimpan menggunakan bekas biasa kini telah dibotolkan, ditinkan atau disalut dengan pembungkus plastik dan sebagainya. Barangan makanan tersebut boleh disimpan dan digunakan untuk tempoh beberapa bulan atau tahun lamanya.

Teknologi moden juga telah membolehkn ubat-ubatan dibuat dalam bentuk pil atau dimasukkan ke dalam kapsul kecil supaya tahan lama dan mudah ditelan. Kita dapat melihat pelbagai jenis ubat-ubatan mengandungi pelbagai rasa yang dijual di pasaran tempatan. Produk-produk ini kebanyakannya diimport dari luar negeri, manakala sebahagiannya dibuat oleh pengusaha tempatan.

INDUSTRI

Ketika ini masyarakat antarabangsa begitu berminat mengembangkan ekonomi melalui industri berasaskan bioteknologi. Bagi kebanyakan negara terutama di rantau beriklim hutan hujan tropika sumber biologi memang tidak menjadi masalah kerana buminya yang subur dengan beraneka jenis tumbuhan dan didiami oleh pelbagai jenis haiwan. Sumber biologi yang begitu banyak memudahkan negara-negara berkenaan mewujudkan industri tersebut.

Tidak kurang pentingnya ialah pewujudan sumber tenaga manusia yang berkepakaran dalam bidang berkenaan. Pembangunan sumber tenaga manusia yang menjurus ke arah itu harus diberikan penekanan dalam usaha meraih hasil bagi jangka masa panjang.

Peluang bagi pembuatan pelbagai reka cipta teknologi, jentera dan mesin, produk makanan, perubatan, baja, racun serangga, pengembangbiakan dan perkara-perkara yang berhubung kait dengan bioteknologi sentiasa terbuka luas.

Dalam hal ini pengusaha tempatan hendaklah cuba menceburkan diri di bidang berkenaan. Pengusaha-pengusaha tempatan yang telah bergiat dalam bentuk skala kecil mungkin beralih kepada usaha yang lebih besar dan berdaya maju.

Untuk mewujudkan industri skala besar, para pengusaha tempatan mungkin patut mewujudkan usaha sama dengan pelabur-pelabur dari luar negara yang berkepakaran dan berkemampuan di bidang tersebut. Usaha sama seperti itu akan menguntungkan pengusaha tempatan dari segi peralihan teknologi dalam jangka masa panjang.
Penglibatan negara dalam forum-forum kerjasama ekonomi serantau dan antarabangsa seperti APEC, ASEAN, BIMP-EAGA, WTO dan seumpamanya boleh dimanfaatkan oleh pengusaha tempatan.

Penglibatan tersebut juga setentunya menyediakan peluang pasaran yang begitu luas.

Apa yang penting, para pengusaha kitani perlu bersedia mempelbagaikan usaha dengan meneroka bidang-bidang perniagaan baru yang lebih berpotensi dan mencabar semata-mata bergantung kepada perniagaan bersifat konvensional.

No comments:

Post a Comment