KARANGAN LARAS SAINS

Karangan laras sains melibatkan 3 bidang iaitu sains tulen, sains gunaan dan perubatan & Kesihatan. Sains Tulen iaitu fizik, kimia, biologi dan matematik. Sains Gunaan pula ialah kejuruteraan, perkomputeran, perakaunan dan alam sekitar manakala Perubatan & Kesihatan pula ialah pencegahan, perawatan dan pengesanan.

Tuesday, February 7, 2012

TENAGA ALTERNATIF

Biojisim, biogas sawit sumber elektrik

Oleh Nasrin Abu Bakar
nasrin@mpob.gov.my

KOTA KINABALU: Bahan buangan industri sawit terutama daripada kilang minyak sawit berpotensi digunakan sebagai sumber bahan bakar Program Janakuasa Kecil Tenaga Yang Boleh Diperbaharui (SREP) bagi menghasilkan tenaga elektrik dan sebagainya.

Bahan buangan seperti tandan kosong sawit (EFB) dan air sisa sawit (POME) yang dihasilkan dengan banyak membuka peluang kepada kilang sawit untuk turut menceburi dalam bidang penjanaan tenaga seperti program SREP ini. Menteri Perusahan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar SREP anjuran MPOB yang berlangsung di Hotel Promenade di sini baru baru ini. Seminar yang julung kali diadakan itu bertujuan menggalakkan pembabitan industri sawit dalam SREP dan sebagai platform membincang isu serta cabaran bagi merangka hala tuju mengenainya.

SREP yang dilancarkan Kerajaan pada tahun 2001 bertujuan menggalakkan penggunaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui (RE) dalam bidang penjanaan tenaga elektrik.

“Melalui SREP, Pengeluar tenaga elektrik daripada sumber RE seperti biojisim, biogas, mini hidro dan solar dibenarkan mengeksport tenaga ke grid nasional dengan kapasiti maksimum 10 MW.”

“Kini, sebanyak 43 telah diluluskan di bawah program SREP, dan 25 daripada itu adalah menggunakan biojisim dan biogas sawit sebagai bahan bakar dengan kapasiti tenaga elektrik sebanyak 196.85 MW.”
“Tiga loji jana kuasa biojisim sawit dan sebuah loji biogas sawit telah disambungkan ke grid dengan jumlah kapasiti 31.7 MW,” katanya.

Kajian awal MPOB, mendapati tenaga elektrik sumber EFB dan biogas daripada POME mampu menghasilkan kapasiti tenaga sehingga 1065 MW dan 270 MW”.

Tan Sri Bernard Dompok berkata, penggunaan tenaga hijau industri sawit ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan penggunaan biogas sawit pula berupaya mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Penggunaan biogas sawit juga mengurangkan kesan karbon (carbon footprint) dalam penghasilan minyak sawit dan ini selaras dengan tuntutan oleh pengguna dan pengimport supaya melaksanakan amalan mapan dalam menghasilkan minyak sawit.”

Beliau berkata, Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan bekerjasama dengan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) bagi membantu industri mengatasi dan menyelaras masalah sambungan grid nasional dan isu lain seperti insentif, tariff dan bantuan kewangan.

Kementerian dan MPOB sedang berbincang dengan pakar perunding bagi mengkaji secara menyeluruh pengeluaran tenaga boleh diperbaharui dalam industri sawit.

Turut hadir pada perasmian itu Pengerusi MPOB, Dato’ Sabri Ahmad, Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Mohd Basri Wahid dan Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan dan Pembangunan), Datuk Dr Choo Yuen May, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Seminar

No comments:

Post a Comment