KARANGAN LARAS SAINS

Karangan laras sains melibatkan 3 bidang iaitu sains tulen, sains gunaan dan perubatan & Kesihatan. Sains Tulen iaitu fizik, kimia, biologi dan matematik. Sains Gunaan pula ialah kejuruteraan, perkomputeran, perakaunan dan alam sekitar manakala Perubatan & Kesihatan pula ialah pencegahan, perawatan dan pengesanan.

Monday, October 11, 2010

PENYAKIT MENTAL MENJEJASKAN EKONOMI NEGARA

CONTOH SOALAN : Bilangan rakyat yang mengalami penyakit mental semakin meningkat dari hari ke hari. Hal ini amat membimbangkan negara kerana boleh mendatangkan kesan negatif terhadap pembinaan modal insan. Bincangkan kesan negatif tersebut

Pertambahan pesakit mental yang berterusan boleh mengakibatkan negara mengalami kerugian sehingga mencecah RM1 bilion kerana produktiviti negara terjejas akibat masalah tersebut.

Presiden Persekutuan Psikologi dan Kesihatan Mental ASEAN, Prof. Dr. Mohd. Hussain Habil berkata, jumlah kerugian tersebut merupakan kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar dalam bidang psikologi dan psikiatri.

“Kesan utama yang jelas boleh dilihat daripada masalah ini ialah ekonomi keluarga mangsa mulai terjejas dan seterusnya terhadap ekonomi negara.

“Maka jika lebih ramai rakyat Malaysia mengambil remeh terhadap masalah tekanan mental, lebih banyak kerajaan terpaksa menanggung beban daripada kesan penurunan produktiviti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas kesan daripada jumlah pesakit mental di negara ini yang terus meningkat sebanyak 400,227 kes pada tahun lalu berbanding 364,196 kes pada tahun sebelumnya.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, statistik juga menunjukkan sebanyak 11.2 peratus daripada pesakit mental terdiri daripada mereka yang berusia 16 tahun ke atas.

Mohd. Hussain berkata, penyakit mental sebenarnya tidak mendatangkan bahaya atau kecederaan kepada sesiapa sebaliknya lebih bahaya kepada negara kerana menjejaskan ekonomi negara.

Sehubungan itu katanya, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil berat terhadap masalah tekanan hidup dengan sentiasa menjadikan hospital sebagai tempat rujukan pertama.

Bagaimanapun ujar beliau, masalah orang ramai terutama keluarga kepada pesakit ialah mereka lebih cenderung dan mempercayai cara ubatan tradisional.

“Kerana itu segelintir pesakit mental tidak sembuh sepenuhnya kerana tidak dirawat secara menyeluruh seperti yang diamalkan oleh pakar-pakar perubatan di hospital sakit mental dalam negara,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Presiden Persatuan Psikologi dan Psikiatri Malaysia, Dr. Abdul Kadir Abu Bakar bagaimanapun berkata, pertambahan pesakit mental yang dilaporkan oleh Kementerian Kesihatan itu merupakan petanda yang baik.

Jelas beliau, perkembangan itu menunjukkan masyarakat telah menyedari kepentingan mengawal masalah tekanan mental yang boleh membawa keburukan kepada diri pesakit jika tidak mendapatkan rawatan segera.

Beliau berkata, tekanan dalam diri bukan sahaja menyebabkan seseorang itu akan mengalami penyakit mental bahkan daripada segi fizikal individu itu boleh mengalami sakit jantung yang merupakan penyakit pembunuh.

No comments:

Post a Comment